Sabtu, 10 Oktober 2009

cerita semalam...

Aku membetulkan lipatan cadar pengantin Azah. Cantiknya, Azah. Dari sebalik cermin aku memerhati wajah lembut Azah yang sedang disolek. Rina dan Zaihan bergilir-gilir menyapu bedak di pipi Azah. Sesekali Azah menolak tangan Zaihan.
"Sudahlah, aku dah macam Cina opera," katanya. Kami ketawa.
"Nak cantik atau tidak?" aku mengusik.
Azah cuma tersenyum.
"Kalau tak mekap tebal sikit, nanti gambar tak fotogenik," kata Rina, sungguh-sungguh.

Menurutku, Azah sudah cukup lawa. Tak perlu bersolek tebal-tebal pun, dia pasti nampak fotogenik, walaupun dengan lensa kamera jenis apa pun. Pakaiannya sungguh sederhana, baju kurung moden daripada 'lace' warna krim diserikan dengan tudung labuh dari warna serupa.

"Tahniah Azah," kata Hanah, yang baru muncul dengan sekotak hadiah. Hanah juga menghadiahkan kucupan di pipi gebu Azah.
"Awas cat basah," kata Zaihan, sambil membetulkan solekan Azah semula. Kemudiannya Hanah mencium kami semua.
"Maaf lambat, aku tak dapat cuti awal dan penerbangan tertunda pula. Rugi aku tak ada masa majlis berinai semalam," kata Hanah, yang bertugas sebagi pegawai penyelidik di Universiti Pertanian, cawangan Sabah.

Ah betapa cepatnya masa berlalu. Rasanya baru sahaja – aku, Azah, Rina dan Zaihan – di alam remaja. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan kad undangan Azah. Hujan tidak, angin tidak, tiba-tiba Azah buat cerita yang menggegarkan dunia kami.

Kami berlima rapat sejak di tingkatan satu lagi. Sama-sama suka berkelahi dengan budak lelaki. Kami ni antilelaki biar pun bagaimana baik atau tampan pun mereka.
Walaupun begitu, Rina dan Hanah tidaklah seradikal kami. Manakala Zaihan lebih terikut-ikut keletah kami – aku dan Azah - saja. Azahlah 'presiden' kelab tolol tu. Sementara aku ni sebagai 'setiausaha tetap' selalu sahaja mereka cipta pelbagai hal untuk menyakiti budak-budak lelaki di kelas kami.

Kami selalu bergaduh dengan Azli yang sering mencari-cari siapa yang tidak solat Zuhur di surau. Mentang-mentanglah dia tu orang kuat surau dan menjadi kesayangan ustaz.... Dia tak belajar agaknya, yang orang perempuan ni setiap bulan diberi 'cuti' khas oleh Tuhan.

Sesekali kami suka membuli Khairudden, pelajar Melayu genius kelas kami. Sebagai Penolong Ketua Pengawas sesi petang, dia selalu ugut hendak tulis nama aku dan Azah yang suka makan dalam kelas. Malangnya, budak pemalu dan pendiam tu tidak pernah berani melaksanakan ugutannya tu.

Kami selalu menyiasat kes yang mengarut-ngarut: sama ada Cikgu Salim seterika bajunya atau tidak, dan apa yang Cikgu Zarina buat lepas sekolah. Kami lah yang dulu dapat menghidu cerita tentang hubungan asmara Cikgu Rose dengan Cikgu Mahadir. Itu semuanya berlaku semasa kami di tingkatan satu dan dua, semasa kami sedang gila membaca novel penyiasatan Nancy Drews dan Hardy Boys. Alangkah indahnya masa lalu.

"Bukalah tudung tu, sekali umur hidup nak melawa apa salahnya," desak saudara Azah, selepas bersalam dengan Azah.
Azah tidak mengendahkan permintaan saudaranya tu, dia cuma tersenyum sambil membetulkan letak tudungnya semula.

Sejam lagi istiadat ijab kabul akan berlangsung dan Azah akan bergelar 'puan'. Sejak tadi ramai ahli keluarga Azah, berharap Azah akan menanggalkan tudungnya. Tapi aku pasti, tak seorang pun akan berjaya berbuat demikian.

Aku ingat lagi, dulu semasa Ustaz Hamzah suruh kami memakai tudung; kami melenting. Ketika itu, tidak seorang pun pelajar perempuan Islam di Tingkatan 4 Sains 1 yang bertudung, meskipun kami berbaju kurung setiap hari ke mana-mana. Masing-masing ada gaya tersendiri.

Azah dengan rambut ikalnya separas bahu; Hanah pula fesyen 'baby doll' begitu juga Zaihan; Rina dengan fesyen dandan dua ala 'Red Indian'; dan aku sediri pula, potong pendek macam 'Lady Di'. Puas Azli mengingatkan kami tentang dosa dengan membaca hadis dan ayat al-Quran, tapi kami buat tak kisah pun.

Setahun kemudian, semua pelajar 5 Sains 1 terkejut bila aku bertudung. Entah tiba-tiba sahaja hatiku terbuka. Alhamdulillah, kata Azli dan Khairudden. Perubahanku diikuti oleh Hanah, Zaihan dan kemudiannya Rina. Cuma Azah yang tertinggal.

Tapi lihatlah sekarang, Azah mendahuluiku bertudung labuh. Sedangkan aku, masih macam dulu; yang menyedihkan lagi... akhir-akhir ini tudungku semakin pendek dan berwarna-warni. Sudah sampai masanya aku mesti berubah, bertudung labuh!

Tiga tahun di ITM, mengubah Azah. Dia sudah tidak gila-gila lagi. Namun begitu apabila bersama kami, dia masih Azah yang kami kenal dulu. Lima tahun di Sydney, Australia, menjadikan Hanah seorang Muslimah sejati. Dia berjubah dan bertudung litup. Zaihan pun sewaraq Hanah, meskipun tidak berjubah.

"Salina, apa khabar?" Nora mengejutkan aku.
"Alhamdulillah." Kami berpelukan seketika.
"Ah, Nora semakin jelita tak hairanlah kalau ada yang makan hati," usikku.

Sejak dulu, Nora memang ramai peminatnya. Sebab itulah dia tidak terpilih menjadi ahli kelab kami (padahal, kalau diajak pun dia tidak berminat). Sebabnya cuma satu: Nora tidak sanggup melupakan 'peminat-peminat'-nya tu. Aku lantas memeluk Mim dan Zana seerat-eratnya. Walaupun mereka bukannya ahli 'Kumpulan Setia Berlima' tetapi mereka juga adalah rakan-rakan sedarjah yang kami kasihi, yang kami ingati.

Selepas habis tingkatan 5, semuanya membawa diri. Zana ke UTM; kini menjadi guru dan mengajar di Bintulu, Sarawak. Nora menjadi kerani Bank Simpanan Nasional Alor Setar. Sementara Mim masih di ITM, menyambung kursus Acountancy – tak habis-habis belajar; rungut Zaihan. Inilah kali pertama kami berlapan dapat berkumpul sama-sama lagi setelah tujuh tahun tidak berjumpa.

Bilik pengantin Azah menjadi riuh rendah. Teruk Azah kena usik. Masing-masing nak bergambar dengan dengannya. Aku tumpang gembira, tapi terasa ada yang tidak kena denganku. Aku rasa suatu kehilangan. Baru saja enam bulan sudah, sebelum aku 'graduate' dan dapat kerja, Azah, Hanah dan Zaihan menziarahi aku di kampus. Ketika itu Azah kata dia masih solo dan akan solo untuk beberapa tahun lagi, jodohlah katakan. Azah sendiri tidak pernah kenal dan berkasih dengan Mazlan.

"Siapa pula lepas ni," tanya Mim, yang sudah ada calon suami; yang sama-sama belajar dengannya.
"Sudah gaharu cendana pula," usik Zana, sambil menyiku aku.
"Bukan aku, tau," kataku cepat-cepat, apabila semua mata memandang aku.
"Aii, jangan kata... tengok Azah ni... angin tidak, hujan tidak... tapi dia yang mendahului kita. Aku yang menjadi 'Miss 5 Sc. 1' tiga penggal berturut-turut pun kalah." Usik Nora disusuli dengan ketawa.
Azah senyum juga. Senyuman selamat tinggal masa remaja.

"Oii, kelab kamu dah kekurangan ahli lah ni. Nak cari 'presiden' baru?" tanya Zana tiba-tiba.
Oh, rupanya dia masih ingat kelab tolol kami tu.
"Bukan 'presiden' saja yang hilang, ada yang nak letak jawatan juga, ni," kata Rina.
Zaihan dan Hanah tersenyum, terasa diperli.
"Nora nak ganti ke?' tanya Rina yang sudah bertunang.
"Eh, aku dari sekolah lagi tak berminat dengan kelab kaki gaduh dengan budak lelaki kau orang tu," kata Nora.
"Aku tak rela jadi andartu," sambung Nora. Candanya diiringi dengan ketawa kecil.

Hatiku tersentuh. Azah juga tidak menyampuk lagi. Mukanya bercampur-campur antara gemetar dan gembira. Sesekali dia mengerling jam tangan Mim, yang duduk di sebelahnya.
"Lagi setengah jam, Azah," kata Mim, cuba bercanda lagi.

Aku tahu , Azah cukup dewasa untuk menentukan haluan hidupnya. Mazlan, bakal suaminya itu Pegawai Perancang Ekonomi. Pasti mereka secocok, sama-sama kerja kira duit kata Zaihan semalam. Azah yang bekerja sebagai juruwang di Bank Islam tu, ketawa. Aku dan Zaihan memang datang lebih awal. Kami ni bukan sekadar rakan karibnya tetapi ada bau-bau bacang juga dengan Azah. Tambahan pula aku ni kan, mewakili keluargaku yang tidak dapat menghadirikan diri.

"Aku ulang semula, bila lagi giliran kau, Salina." Tanya Mim.
Semua orang diam. Masing-masing menunggu jawapan daripadaku.

"Jangan semua nak tanya aku," kataku serba salah.
"Yalah, dia kan pemangku 'presiden' bila Azah keluar ni, tak payahlah tanya dia," perli Nora.
"Bukan aku."
Aku jadi gelabah.
"Oh, kalau tak nak jadi 'presiden' seumur hidup, cakaplah siapa pilihanmu. Tak kan itu pun nak berahsia," usik Mim lagi.

Aku cuma membisu sambil melihat jam di meja solek. Akad nikah 20 minit lagi. Dadaku yang berdebar-debar lebih. Aku merenung mereka dengan sayu. Selepas ini kami semua akan berpisah lagi. Entah bila pula dapat berkumpul semula. Kenduri Azah ni kebetulan bulan raya, semuanya pulang bercuti.

Aku merenung Azah semula.
"Kau bila lagi, Salina?" tanya Azah semalam, ketika aku dan Zaihan leka menjahit labuci di tudungnya. Aku pura-pura ketawa besar. Zaihan mengenyit matanya.
"Dari dulu kami susah nak tahu apa yang tersirat dalam hati kau, Salina," kata Azah, dengan tangan berbalut inai.
"Cakaplah, kita ni kan dah macam adik beradik." Pujuknya lagi.
"Tengok tu Zaihan, orang kalau dah nak kahwin, dia nak semua orang di sekelilingnya kahwin juga," pintas aku sebelum Azah habis bercakap.

Zaihan ketawa risik punya risik aku tahu, lepas Azah, Zaihan menunggu giliran sahaja untuk bersatu. Begitu juga dengan Hanah dan Rina, masing-masing sudah ada pilihan sendiri. Tentulah Azah risau, melihat 'setiausahanya' masih sendiri. Mungkin dia rasa bersalah, menanam semangat anti begitu, kepadaku dulu.

"Jangan tunggu lama-lama, kita dah nak masuk suku abad. Zaman mak-mak kita dulu sudah beranak tiga. Perempuan... kalau sampai umur 26 tahun masih juga solo, peluang nak kena barah rahim tinggi," kata Zaihan, lepasan sarjana Zoologi dari California.

"Eh, kau ingat kerja sebagai wartawan tak payah kahwin, tak payah berkeluarga," kata Azah.
Amboi, berubah betul, bekas 'presiden kelab' kami ni.
"Aku tak kata begitu, adik-adikku ramai. Apa pun aku mesti utamakan mereka," jawabku.
"Alasan lah tu," kata Zaihan, memandangku penuh curiga.

Mujurlah Mak Cik Yah, emak Azah menyelamatkan aku. Tiba-tiba dia masuk ke bilik dan mula bising. "Eh, pengantin tak boleh tidur lambat, nanti esok tak berseri."
Dia membuka inai di jari Azah. Dan aku terus pura-pura tidur. Zaihan dan Azah kemudiannya terpaksa tidur juga, kerana tiada kawan untuk mereka 'nasihati' lagi. Kami tidur bertiga.

"Eh, jangan banyak angan-angan." Nora menyiku.
"Orang kalau sedang bercinta tentu banyak berangan, tak percaya tanyalah aku," kata Nora lagi.
"Aku bukan nak berahsia, aku ni memang bujang senang," kataku sambil ketawa.
"Takut aku," celah Rina, yang menjadi tutor di ITM, Arau. Mim memegang tanganku.
"Eh, sejuknya tangan. Orang kalau sedang berbohong memang sejuk tangannya." Usik Zana sambil meraba telapak tanganku.

Aku memandang Azah. Cuma dia yang tidak mengusik aku. Adakah dia sudah tahu rahsia hatiku? Sudahkah dia tahu segala-galanya? Memanglah dia temanku yang paling akrab, tetapi aku tidak pernah bercerita apa-apa pun kepadanya sejak dulu. Apatah lagi apabila kami belajar dan bekerja di tempat yang berasingan pula. Kalaulah Azah tahu 'setiausahanya' sudah berpaling tadah sejak lima tahun dahulu, alangkah malunya aku!

"Eh, tak kanlah di USM tak ada orang yang suka pada kau," tanya Hanah, mencari kesempatan. Aku menggeleng.

"Aku tak percaya wajah pan-Asia macam kau ni tak ada peminat, itulah suka jual mahal," kata Nora.
"Aku tak kan pernah lupa profil gadis 14 tahun yang hampir-hampir muntah apabila menerima surat pertama dari abang 'senior'," ujar Mim, diikuti dengan gelak ketawa. Aku pun turut ketawa mengingatkan peristiwa dulu tu.

Aku ingat lagi surat dari Zek tu diedarkan di seluruh Tingkatan 2A1. Teruk aku kena ejek. Dan kalaulah mereka tahu sehingga sekarang pun aku masih fobia begitu, tentu teruk aku kena 'hentam' dengan mereka pagi ini!

Aku masih gementar, takut dan rasa nak muntah apabila menerima huluran perkenalan atau surat daripada lelaki. Wah, begitu besarnya pengaruh 'kelab' tolol tu kepadaku?

Aku kan seorang wartawan. Aku ni pula bekas pelajar 'journalism'. Bulan Julai ini genaplah usiaku 25 tahun. Tapi aku masih berkelakuan seperti budak-budak saja.

Kalaulah mereka tahu, aku tidak berani ke kuliah semata-mata sebuah salam perkenalan dari seorang bakal guru, pecahlah perut mereka ketawakan aku. Kalau mereka tahu, aku gagal dua 'paper' kerana hampir dipaksa bertunang dengan pilihan orang tua, pasti mereka kata aku ni pondan. Kalaulah mereka tahu, aku juga pernah demam apabila menerima surat cinta dari seorang teman sekursus, pasti si Nora suruh aku mandi bunga.

Aku tidak pernah takut bertemu dengan Pak Menteri atau mengendalikan kes-kes jenayah untuk ruangan akhbar. Dari dulu, aku memang berani bertekak dengan 'budak lelaki' mana-mana pun, di mana-mana pun. Cuma sehingga kini yang paling menakutkan aku ialah apabila: kena 'approach' dengan budak lelaki. Lutut aku rasa nak tanggal kerana menggeletar.

Itulah aku, Salina Arief Mansor. Salina yang boleh beraksi di depan seribu penonton dalam pertandingan Debat Antara Universiti. Salina yang pernah mewakili sekolahnya dalam pelbagai jenis pidato dan pertandingan perbahasan. Kenapa ya, aku mempunyai dua peribadi yang berbeza? Diakah puncanya?

"Sudah lah tu, kamu semua tak beri perhatian kepada aku yang menjadi pengantin ni," kata Azah seakan merajuk. Terima kasih Azah kerana menyelamatkan aku dari terus kena 'ambush' ni.

"Assalamualaikum," kata Azli. Di belakang Azli, isterinya yang sedang sarat mengandung.
"Tak pakai jilbab pun, dulu dialah sibuk kempen kita," kata Zana perlahan.
"Mujurlah dia bising, kalau tak kita masih buka aurat," pintas Hanah, Zaihan mengangguk setuju.

Majlis akad nikah berlangsung pada pukul 10.45 pagi, hanya dengan sekali lafaz akad sahaja. Kami mengaminkan doa dan mencium Azah. Sahlah Azah menjadi isteri Mazlan Hanif.

Dalam celah-celah kesibukan Mazlan dan kerabatnya masuk ke bilik menyarung cincin berlian di jari manis Azah, aku terpandang Khairudden. Aku tergamam, lututku mula menggeletar dan tanganku berpeluh sejuk. Mimpikah aku? Dia sedang mendukung erat anak berwajah 'mat saleh'. Budak yang berumur hampir tiga tahun itu mencium pipinya bertalu-talu.

Anak dia? Oh, itu kan isterinya: berambut perang dan memakai baju kurung batik tulis warna oren.

Air mataku jatuh berderai. Kenapa dia mesti datang merosakkan kegembiraan ku pada saat ini? Tujuh tahun aku menunggunya tanpa sebaris kata. Tak pernah seorang pun yang tahu. Tak pernah seorang pun tahu... tentang isi hatiku selama ini. Siapakah yang akan percaya, dialah yang aku tunggu selama ini. Dialah di hatiku.

Walaupun dia tidak pernah menjanjikan apa-apa, namun menerusi Azli aku tahu dia menyukaiku. Kukuhkah itu, untuk membuat aku menunggunya sehingga tujuh tahun? Kesetiaanku selama ini berkecai. Den, bukan sahaja belajar di UK tetapi juga kahwin dengan orang UK, kenapa aku tak pernah tahu? Kenapa beritanya tak pernah sampai kepada kami?

Ah, bodohnya seorang Salina Arief Mansor, menenun angan-angan kepada 'dia' yang tidak pernah tahu. Dengan berbekal doa, aku menggantung seluruh harapan. Rupa-rupanya dia telah hilang rasa. Dulu masa Azli memberitahuku hasrat Den, memang aku marah. Tentulah Den ingat harapannya tidak bersambut. Kemudian rasa aneh itu berputik di hatiku. Aku memang tidak berani berterus-terang. Tetapi aku ingatkan Den sedar. Aku sudah tidak nakal-nakal lagi dalam kelas. Aku tidak lagi mengusik atau bergaduh lagi dengan mereka. Aku sudah mulai menjadi seorang wanita!

Sayangnya, selama ini aku cuba menafikan dan memujuk diri bahawa tanpa sepatah kata dari Kota London, sebenarnya bukan menunjukkan dia telah melupakan aku. Mengapakah aku tidak menghapuskan 'teori' itu sejak tujuh tahun dulu. Kenapa aku begitu leka membuai rasa yang tak pasti? Air mataku jatuh tiba-tiba.

"Janganlah sedih melihat masjid dibina," kata Zaihan sambil menepuk bahuku.

Aku senyum walaupun hatiku rasa nak pecah, dengan penuh yakin dan berbekalkan doa, aku tolak yang lain semata-mata menunggunya. Mungkin ada hikmah lain yang Tuhan janjikan untukku. Hmm, selama ini aku membiarkan rasa 'phobia' takut pada semua lelaki untuk mengekalkan kesetiaanku padanya. Tetapi pengakhiran ceritanya tidak seperti yang aku harapkan.

Aku berserah pada-Mu, Tuhan. Berilah aku sedikit lagi kekuatan untuk meraikan Azah.

Den menyerah budak comel tu kepada isterinya. Anaknya melambai ke arah kami. Khairudden juga tersenyum kepada kami. Kepadaku? Salina, jangan nak perasan lagi! Selepas bergambar, mereka membawa Azah ke depan.

Aku tidak berminat untuk mengikut lagi. Aku mencapai beg tangan dan kamera Nikon menuju ke bilik belakang. Aku cepat-cepat mengemas beg. Memasukkan bunga telur yang Mak Cik Yah kirimkan untuk ibu. Cuti tinggal dua hari lagi. Aku bercadang untuk balik ke KL lebih awal. Berehat. Merawat luka.
"Eh, nak balik dah?" tanya Zaihan.
"Aku kerja esok," bohongku, dengan rasa sungguh berdosa.
"Kata nak ke Langkawi dulu," kata Zaihan.
Pada mulanya, aku memang nak mengiringi Azah bertandang ke rumah mentuanya di Langkawi. Lepas tu kami boleh berehat-rehat sebelum terbang dari sana ke KL.

"Aku baru ingat, tok aku kata, orang tak kahwin lagi tak boleh iringi pengantin, nanti tak kahwin terus," kataku, cuba melawak.
"Azah nak jumpa kau. Dia ajak makan sehidang dengan pengantin... cepatlah semua ada. Kita berlapan, Azli dan isterinya, juga Khairuden 'reunion'." Kata Zaihan sambil menarikku ke depan. Aku mencapai beg tangan dan kamera semula.

Aku duduk di sebelah Azah. Di sebelah Mazlan, Khairuden. Di hadapan Den, isterinya yang sedang berbual dengan lelaki berjambang.

Aku makan juga, meskipun susahnya nak menelan. Rupanya, teruk juga ya patah hati ni.

Azah menghulurkan tisu daripada Khairudden. Aku nampak tulisan di dalamnya. Sambil memandang Zaihan yang sedang berbual dengan isteri Azli, aku cepat-cepat membaca.
Cik wartawan, aku ingin 'mengeditmu' – Khairudden.

Aku hampir ketawa membaca perkataan 'edit' tu. Maknanya 'sunting' dalam bahasa persuratkhabaran. Sunting tu maknanya 'lamar' dalam kamus Melayu. Kemudiannya aku marah, sudah beranak-pinak, masih nak berjenaka denganku macam tu.
"Khairudden serius Salina, itu yang aku cuba nak beritahuku kau semalam," bisik Azah.
"Tapi budak tu dan..."
"Daniel, anak abangnya dan Sarah tu kakak iparnya. Azli kata, dia tunggumu sejak dulu. Tapi kau jual mahal, lagipun mana dia berani... kau kan 'setiausaha kelab' kita," kata Azah.

"Den baik Salina, terimalah dia. Dia terbang balik ni... khusus untuk berterus-terang dengan kau tentang hasratnya yang terpendam." Pujuk Azah, kemudian menghabiskan nasinya.

Sebenarnya Azah tidak tahu, aku tidak perlu dipujuk-pujuk lagi. Aku sudah takut untuk jual mahal lagi. Aku memandang Khairudden yang telah banyak berubah. Khairudden senyum dan mengangguk. Aku membalasnya. Rasa bahagia menyelinap seluruh nuraniku, Alhamdulillah. Azli menunjukkan ibu jari ke arah kami, tanda puas. Terima kasih Azah! Terima kasih Azli!

"Jangan kata tidak." Pinta Den sungguh-sungguh dalam riuh bunyi kompang.

terbitan: nursooraya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan