Sabtu, 10 Oktober 2009

SURAT CINTA DARI LEMBAH KUNDASANG

"Posting di mana, Iffah?”
Tanya mama sebaik sahaja aku membuka surat ‘Urusan Seri Paduka Baginda’.
“Haah, Sabah!” Jeritku, apabila membaca isi surat yang telah lama aku tunggu-tunggu.
“Baguslah. Tahniah”
“Mama,” jeritku lagi.

Mama memang tidak sayang kepadaku lagi. Mama sengaja tidak mahu menolong. Mama bukannya tak kenal dengan orang di Kementerian Pendidikan (KP) tu. Kebanyakan mereka kawan-kawan arwah ayah. Lagipun mama sendiri pernah menjadi guru besar sebelum bersara pilihan. Hubungannya dengan orang-orang KP memang cukup baik.

“Iffah sudah besar, tak perlu duduk di bawah ketiak mama lagi.” Pujuk mama, setiap kali aku merayunya agar minta tolong daripada Pakcik Hamdan, kenalan baik ayah yang bekerja di KP tu. Tetapi mama buat endah tak endah aja. Aku geram sungguh. Entah-entah mama pun bersubahat sama; menyuruh mereka hantar aku ke negeri Bawah Bayu tu. Kata mama kita harus cari pengalaman jauh-jauh dulu sebelum menetap di kampung halaman. Pengalaman sesuatu yang amat berharga. Mama, sudah hilangkah seluruh rasa simpatimu kepadaku!

Aku hairan juga.... Aku bukan tak usaha supaya dapat mengajar di KL ni. Semua kaedah telah aku cuba. Yang aku tidak buat, cuma jumpa bomoh dan amalkan jampi serapah saja. Minggu lalu aku telefon kawan-kawan yang kerja kat KP – tapi yalah, mereka tu baru sahaja bekerja di situ – apalah yang dapat mereka tolong.

Aku telah dapatkan surat akuan doktor, kononnya aku masih menderita asthma (sebenarnya telah bertahun aku pulih) Cuma rekod-rekod lamaku membuat doktor percaya dan bersedia memberi surat sokongan. Kalau mama tahu, mampus. Dan yang paling penting, aku talah pun jumpa ahli politik, Dato’ Khalid -- bapa temanku, Khairani. Y.B tu sudah berjanji hendak membantu. Yani tu kan kawan baik aku semasa buat KPLI di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Jadi tiada sebab bagi bapanya untuk menghampakan permintaan aku yang ‘sungguh mudah’ ni. Aku sebenarnya nyaris-nyaris hendak jumpa Pak Menteri (kalau tak Wan Faezah yang sabarkan).

-- Hushh, macamlah masalah kau tu masalah negara. Bill Clinton pun dapat selesaikan masalah peribadinya sendiri. Sedangkan kau terpaksa bergantung kepada politician untuk isu remeh-temeh ... malu, eh – perli Wan Faezah.

Haah, rasa bagai tak percaya... SABAH, keluhku lagi. Tidak mengapa, hari Isnin ini aku rayu lagi. Kalau telefon sekarang ni pun, tak siapa nak layan cakap aku. Aku faham sangat; tengah hari Sabtu begini, orang pejabat cuma takut traffic jam. Yang perempuannya pula tidak sabar-sabar hendak pulang kerana takut miss Panggung Sabtu.

* * * * *

Iffah menghirup bayu segar pertengahan bulan Julai yang tak malu-malu menyusup melalui jendela kaca yang terbentang luas. Dingin malam menggamit rindu Iffah kepada mamanya. Walaupun sudah lebih sebulan di sini, Iffah masih homesick. Tidakkah Suzana dan Faezah alami seperti mana yang aku rasai?

“Tak adil!” Kata Iffah, tiba-tiba.
“Kenapa?” Tanya Suzana, yang sibuk menyiapkan ringkasan mengajarnya di tengah rumah.
“Mereka tempatkan aku di sini,” kata Iffah
“Aku seronok,” kata Suzana, yang telah setahun di sini.
Iffah mencebik bibirnya. Dia mengalih pandangannya ke arah langit tanpa bulan dan bintang. Malam ini mungkin hujan lagi, jangkanya.
Iffah kemudian menutup kaca jendela. Angin sejuk dari lembah Kundasang meresap masuk dalam badannya walaupun sudah berbalut baju tebal.

Iffah mula terkenang mama yang tinggal keseorangan di KL. Dulu semasa di maktab, walaupun jauh ke utara ... sebulan sekali dia pasti balik menjenguk mama. Selang sehari, pasti dia menelefon mama walaupun untuk seminit dua. Paling tidak, seminggu sekali mengirim surat atau poskad untuk mamanya. Tapi kini mereka terpisah beribu-ribu batu melintasi laut luas. Iffah sudah tak mampu balik.... Apatah lagi nak telefon selalu. Kalau berkirim surat pula, paling cepat lapan hari pergi balik, itu pun kalau mama tidak peram surat tu... mama, Iffah amat rindu pada mama.

“Eh, Iffah ... jangan asyik temenung-menung saja. Dah siap ringkasan mengajar kau tu,” tanya Faezah.
Faezah bimbang, guru Penolong Kanan mereka sungguh tegas. Nanti Iffah kena dera jiwa pula.

“Aku tak suka tinggal di sini, Faezah,” bisik Iffah perlahan.
Faezah cuma tersenyum. Dia masih ingat, dulu pun Iffah mengamuk sakan apabila dia dihantar berkursus ke Maktab Perguruan di Kedah.
-- Kat KL ni ada dua tiga buah maktab, tak kan tak muat aku seorang -- marahnya.

Kemudian apabila Iffah mula aktif berpersatuan dan gila sukan, dia mula sayangkan MPSAH. Ketika mereka hendak berpisah di semester akhir dulu, Iffah yang menangis lebih.
-- Katanya, kenapa ye kursus KPLI pendek sangat! Orang buatlah dua tiga tahun – keluh Iffah.
-- Mengarut betullah kau Iffah -- jerit Kak Zaleha yang tak sabar-sabar balik ke Terengganu.
Kursus itu memang membebankan Kak Leha yang berpisah jauh dengan anak dan suami. Kalau boleh Kak Zaleha nak buat kursus Dip Ed ini melalui gaya pos sahaja. Pelik betul si Iffah ni!
Sekarang Faezahh pasti; Iffah cuma perlukan masa untuk menyesuaikan diri, silap-silap dia akan terus menetap di sini, siapa tahu?

“Menyesal aku buat major Pengajian Melayu ni, kalau tak, tentu aku tak dihantar ke ulu ni,” rungut Iffah lagi.
Suzana cuma senyum sinis setiap kali mendengar leteran dan rungutan Iffah. Kedua-dua mereka bersahabat karib sejak sekolah rendah lagi. Kehadiran Suzana tentu saja menggembirakan Iffah. Tidaklah Iffah rasa keseorangan di sini. Kalau tidak tentulah banjir kaki Gunung Kinabalu ni dengan air mata Iffah. Suzana ketawa sendiri. Manja betul si Iffah ni. Perangainya tak pernah berubah sejak dahulu.

Suzana lulusan TESL dari UPM, jadi sebaik sahaja graduated dia ditempatkan di Lembah Kundasang ini. Sementara Iffah pula menghabiskan tiga tahun di Fakulti Ekonomi & Pentadbiran, Universiti Malaya. Kemudian Iffah bekerja sebagai pegawai SKS di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sebelum membuat kursus KPLI. Kebetulan pula di Sabah ini mereka ditemukan sekali lagi. Cuma mereka tidak mengajar di sekolah yang sama sahaja. Tuhan sahaja tahu betapa seronoknya Suzana dapat serumah dengan Iffah.

Di rumah lima bilik ini, mereka tinggal berempat. Suzana, Wan Faezah, Juriffah dan Widuri. Widuri anak jati Sabah keturunan Bajau itu berasal dari Kota Marudu. Gadis kecil molek tu mengajar sesekolah dengan Suzana. Suzanalah yang pelawa Iffah dan Faezah berkongsi rumah dengannya, sebaik sahaja dapat tahu mereka akan ditempatkan di KK. Rasanya kalau tak dipelawa pun, Iffah memang tak perlu malu –malu nak tumpang Suzana. Lagipun bukan senang nak dapatkan rumah sewa sekarang. Lainlah kalau posting bulan dua belas.

Iffah mengeluh lagi. Dari dulu, hajatnya untuk menjadi guru cuma satu – supaya dapat bertugas berhampiran dengan tempat kelahirannya (agar dekat dengan mamanya) – bukannya terpisah jauh ke sini. Titik.

Mama ketawa besar apabila Iffah cerita fasal dia dimarahi pegawai pendidikan sebelum ke Sabah:
- Kalau tak mau pergi, tak mengapa. Ramai lagi yang belum diposting, mereka tu boleh ganti awak. Awak duduk-duduklah di rumah. Kami tak kuasa nak layan orang seperti awak. Oh, satu lagi ... jangan lupa bayar balik penalti RM 40,000 tu. Tapi kalau nak tinggal di Semenanjung juga ... ke Ulu Tembeling bolehlah. Tapi sayang, kursus awak untuk peringkat sekolah menengah – sambungnya lagi dengan nada perli.
Geram sungguh hati Iffah diperli-perli begitu. Akhirnya, mahu tak mahu Iffah telah di sini.

“Alah tiga empat tahun bukannya lama sangat, pejam-celik... pejam-celik, dah boleh minta balik Semenanjung,” pujuk Widuri, yang tahu apa yang tersirat di hati Iffah.
“Wiwi bolehlah cakap begitu. Keluarga Wiwi semua ada di sini. Kundasang dengan Marudu bukannya jauh sangat. Tambang bas berapa ringgit baru,” sahut Iffah.
Mata Iffah berair sedih.

“Bagi aku, empat tahun itu lama. Macam-macam boleh jadi. Bagaimana kalau ada saudara mara yang sakit atau meninggal? Bukannya boleh balik segera. Masalah kewangan pula satu hal. Tiket pula satu hal. Tengok ni, tiket kapal terbang untuk balik cuti bulan November sudah habis bertempah ... sedangkan cuti pertengahan bulan Ogos pun, belum tiba lagi.” Kata Iffah sambil memandang Widuri.
“Dah la tu, harga tiket pula telah naik. Cikgu macam aku ni berapalah sangat gaji sebulan. Kita bukan ada banyak elaun seperti guru-guru dulu. Nak harapkan elaun wilayah, Wiwi pun dapat. Kita tak ada apa-apa keistimewaan di sini ... kos hidup di sini, mengalahkan kat KL.” Ujar Iffah sepuas hati.

“Hushh, sudah pandai mengkritik. Oh, nak reformasi la ni,” balas Wiwi dengan nada mengusik.
“Bersabarlah Iffah, dulu masa kita belajar, guna duit rakyat ... sekaranglah masanya untuk berbakti. Bukannya boleh memilih tempat. Itu pun nasib kita tak kena ke pedalaman Kuala Penyu ke ataupun Long ... Long apa-apa,” kata Suzana, macam ahli politik.

“Kau cakap senang Zana, buah hati kau pun mengajar kat sini,” balas Iffah, pedas.
Memanglah betul kata Suzana, kami yang lepasan ijazah ni lebih bertuah dapat mengajar dalam bandar. Aku bukannya tak pernah dengar cerita, ada guru yang tak dapat sembahyang Jumaat bertahun-tahun kerana masyarakat setempatnya, tiada yang Islam ataupun tak cukup jemaah empat puluh orang. Ada juga yang tak pernah nampak ‘rupa’ ayam, daging dan ikan. Mereka cuma makan ikan sardin dan barangan tin yang dibeli sebulan sekali apabila ke bandar.

“Belajarlah mengenali masyarakat di sini, kata pujangga tak kenal maka tak sayang,” pujuk Widuri.
“Iffah kan calon pelatih terbaik di maktab kita ... tak kan macam ni sikap orang cemerlang?” Perli Faezah pula.
Iffah menarik muka.
“Itulah masa dekat U jual mahal. Sombong. Kat maktab pula tolak lamaran pensyarah, jika tidak ...tak perlulah membuang air mata di sini,” perli Faezah, yang kenal Iffah sejak dari UM lagi.
Iffah menarik muka lagi dan terus masuk ke biliknya.

* * * * *

Hujung minggu ini Iffah terpaksa membawa ahli-ahli Kelab Sains dan Reka Cipta ke pameran sains anjuran mahasiswa Universiti Malaya di Dewan Maktab Gaya. Iffah memang malas nak ke mana-mana kalau hujung minggu. Dia lebih senang memerap di bilik sahaja. Tetapi hari ini dia tiada pilihan, Cikgu Awang Amit minta Iffah jadi guru pengiring. Ya lah, hari ini anak sulung Cikgu Awang akan bertolak ke Australia, jadi Iffah tiada sebab yang kukuh untuk menolak permintaan cikgu separuh umur tu. Lalu di rasanya masa terasa lambat beredar.

Entah kenapa hatinya asyik berdebar saja sejak dari tadi. Tiba-tiba Iffah jadi risau dan mata kirinya berkedip-kedip, tanpa sebab. Hah, jangan percaya semua perkara khurafat begitu!
Tiba-tiba mata Iffah terpaku memerhati jejaka di depanku. Dia?

Malaysia ni rupanya bukannya besar mana, elak punya elak rupa-rupanya kini musuh ketatnya berdiri betul-betul di hadapannya. Iffah jadi gugup dan terus kaku.
Siapa ya, namanya? Yang pasti mereka pernah sesekolah, masa itu Iffah dan Suzana baru di tingkatan satu dan monster ni di tingkatan lima sains. Dia sering memanggil nama aku sebagai Zirafah. Meluat!

Dia tidak banyak berubah berbanding berbelas-belas tahun dulu. Cuma sekarang dia lebih tinggi dan agak cerah. Mungkin cuaca sejuk Kundasang membuat kulitnya begitu. Terang-terang aku mengaku dia kelihatan matang dan tampak lebih kacak dan bergaya daripada dahulu. Yang hanya tersisa mungkin sifat angkuhnya.

“Apa khabar, Cikgu Juriffah Haqim?” Katanya sopan.
Ciss, dia masih ingat nama aku, rupanya. Aku cuma mampu membisu. Benci.

Aku masih ingat peristiwa lama zaman sekolah dulu. Dia kan pengawas di sekolah kami ketika itu. Dia memang suka cari fasal dengan aku. Nama aku selalu sahaja terpampang di notis disiplin sekolah. Dia memang tegas tak bertempat. Yang membuat aku sungguh-sungguh benci kepadanya, selepas itu si monster ni cuba berbaik-baik pula denganku. Ada ke selepas itu dia hendak aku jadi adik angkatnya.

-- Saya tak perlu abang angkat ke, abang baling ke ataupun abang lambung -- Jawabku sombong dan kemudian ketawa besar.
Seronok betul aku melihat wajahnya merah padam menahan malu di depan kawan-kawannya.

Mujurlah, selepas SPM dia ke maktab perguruan. Dengar khabar ‘ayam tambatan’ sekolah tu, kecewa kerana gagal mendapat pangkat satu. Jadi di tahun-tahun berikutnya, aku tidak pernah melihat lagi mahupun mendengar khabar tentang musuh ketatku. Ciss, tiba-tiba mereka ditemukan di sini.

Iffah cuma berdiri di depan dewan tak berganjak. Dia rasa sungguh gugup. Setelah mereka terpisah agak jauh dari pelajar-pelajar, si monster tu bersuara lagi.
“Juriffah masih garang dan degil seperti dulu juga,” katanya.
Siapa dia, hah ... hendak menilai aku? Aduh, kenapa aku tidak berani bergaduh seperti dulu lagi. Kenapa mulut ini tiba-tiba terkunci?

Iffah rasa nak balik cepat-cepat. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Petang minggu ni sungguh malang bagi Iffah.

* * * * *

Sejak itu, boleh dikatakan setiap hari Widuri dan Suzana membawa balik salam daripada Cikgu Khairul Anwar, untuknya. Yalah, sekolah Khairul berdekatan dengan sekolah Wiwi dan Suzana, jadi setiap hari kedua-dua perempuan itu, menumpang kereta Khairul. Kata mereka, Khairul tu ‘lelaki contoh’ dan ‘lelaki harapan bangsa’ di Lembah Kundasang ni. Kalau dah suka sangat kenapa tak memikat? Kenapa asyik nak pasang-pasangkan aku dengan lelaki tu?
Sungguh membosankan. Tiada kerja yang hendak dibuat agaknya, selain daripada mengirim salam buat aku, rungut Iffah.

“Iffah, aku sudah buat kesimpulan, rasanya dia sayang kau lah,” Kata Faezah, sambil ketawa besar. Bencinya aku, jerit hati Iffah.
Suzana dan Widuri mengangguk setuju.
“Ciss, aku akan benci dia seumur hidup,” kata Iffah.
“Betul ke? Aku hairan betul dengan kau ni, Iffah. Tak ada satu pun benda di sini yang kau suka,” kata Widuri seperti kecil hati, macamlah negeri di Bawa Bayu ni teruk sangat berbanding KL – tanah kelahiran Iffah tu.
“Ada, Wiwi!” Usik Faezah sambil mengenyitkan matanya.
“Orang dari Malaya ... cikgu bujang tu lah,” celah Suzana.
Iffah cepat-cepat masuk ke biliknya. Mereka ni bukannya boleh dilayan sangat.

* * * * *

Mulanya, Iffah mengamuk sakan apabila terpaksa bekerjasama dengan Khairul untuk projek Pesta Pantun peringkat sekolah-sekolah di daerah mereka. Kebetulan sekolah Khairul dan sekolahnya menjadi tuan rumah bersama. Tetapinya marahnya tak lama. Iffah sedar, walaupun Khairul tu guru lepasan maktab, tetapi pengalaman serta kebolehan kaunselingnya, menakjubkan. Betullah kata orang, pendidikan tinggi saja bukanlah apa-apa jika tidak bersalut dengan pengalaman. Kita sememangnya didewasakan oleh masa....

Khairul bukan lagi seorang yang suka berlagak dan sombong seperti yang Iffah kenal berbelas-belas tahun dahulu. Dia sebenarnya baik hati ... mungkin Iffah betul-betul nakal dulu, dan memang wajar dia dihukum begitu. Tanpa sedar setahun telah berlalu dan Iffah mulai menyukai sekolahnya. Dia sudah belajar menyayangi pelajar-pelajarnya. Lalu dia sudah mulai jatuh cinta pada lembah bertuah ini.

* * * * *

“Iffah, telefon,” jerit Faezah, yang dari tadi asyik menunggu telefon daripada buah hatinya.
“Siapa?”
“Siapa lagi, pak we Iffah la... Khairul.”

Iffah jadi malu. Nak apa pula dia ni? Dia selalu menafikan hubungannya dengan Khairul. Kata Iffah, mereka sekadar rakan setugas. Tapi si Widuri dan Suzana maupun Faezah tidak pernah mahu percaya pengakuannya. Alasannya mudah, Iffah dan Khairul bukannya sesekolah, tiada sebab untuk mereka mengakui sebagai rakan setugas, kata Faezah.
“Kalau ‘rakan sehati dan sejiwa’ ehem... ehem aku percayalah juga.” Sambung Suzana, yang kini menjadikan rumah sewa mereka sebagai medan lepaknya, setiap kali suaminya, Umair ke padang sukan.
Setelah berkahwin ni, sikap suka menyakatnya menjadi-jadi pula. Iffah sakit hati betul kepada Suzana sejak akhir-akhir ini. Tapi kalau Suzana tak datang, dia rindu pula.

Walaupun begitu, jauh di sudut hati... mereka tak nafikan Khairul dan Iffah memang dengan tulus ikhlas, membuat pelbagai projek untuk pelajar-pelajar di daerah ini. Mereka serius mengendalikan, Klinik Pemulihan Bahasa untuk pelajar-pelajar miskin di daerah ini. Kebanyakan pelajar di sini adalah anak-anak pekebun sayur. Mereka memang tidak mampu ke kelas tambahan. Malah jika ada masa yang terluang, masa tersebut mesti dihabiskan dengan menolong keluarga. Usaha murni Khairul sentiasa mendapat sambutan ramai, dan si Iffah ni sentiasa menjadi pelaksana program Khairul yang paling aktif.

* * * * *

“Kata suka tinggal di Kundasang ni, janji nak menetap terus konon ... tapi kenapa tiba-tiba nak balik?”
“Kalau boleh, saya tak nak pergi jauh daripada Iffah,” kata Khairul dengan mata bercahaya.

Iffah membetulkan tudung kepalanya yang ditiup angin petang dari lembah yang permai ini. Sesekali matanya liar memerhati kiri-kanan. Untuk pertama kalinya keluar berduaan dengan lelaki, membuat hatinya cemas. Kalaulah pelajarnya nampak, tentu teruk pula dia kena gosip. Dalam dunia pelajar inilah antara berita yang paling sensasi – jumpa guru sedang ‘dating’. Bagi mereka, apabila dua orang bertemu mestilah sedang bercinta, tiada sebab lain. Inilah susahnya jadi guru, sentiasa saja ‘public figure’.
“Saya balik ni sebab nak sambung belajar... nak habiskan tahun akhir pengajian luar kampus saya di USM.”

Iffah cuma diam. Kalaulah mama tahu dia berduaan tanpa muhrim begini, pasti teruk dia kena marah. Aduh, mama tak tahu sebenarnya Iffah sudah puas menolak; tetapi Khairul merayunya sungguh-sungguh. Katanya, sangat penting Iffah, antara hidup dan mati.

“Iffah ... dengar saya cakap ni,” kata Khairul.
“Iffah janganlah sedih dengan pemergian saya. Lagipun bukannya lama ... cuma setahun. Cuti semester nanti kita boleh jumpa lagi,” sambungnya perlahan, dengan muka senyum bersinar.
“Saya tidak sedih. Peduli apa kalau setahun atau seratus tahun awak pergi,” tegas Iffah dengan suara yang tinggi dan dibuat-buat.

Iffah mula takut melihat gelagat Khairul akhir-akhir ini yang agak ganjil. Iffah langsung tidak berani memandang Khairul.
“Saya sayang Iffah lebih daripada ... sayang seorang abang kepada adiknya.”
Khairul meluahkan apa yang tersirat di hatinya selama ini. Dari sekolah lagi dia sudah jatuh hati pada gadis manis ini. Tapi Si Iffah ni garang mak datuk, sepatah kita bercakap ... berpatah-patah dia balas, macam murai tercabut ekor sahaja. Sebab itulah mereka asyik bergaduh masa di sekolah dulu. Cepatnya masa berlalu....

Kini Khairul perlu mendengar janji setia Iffah sebelum dia berangkat lusa. Dia ingin memahat rasa kasih Iffah itu, dalam-dalam ke hatinya. Khairul berharap hati Iffah untuknya seorang. Mengapalah si Iffah pura-pura ni tak mahu mengerti dan suka sangat jual mahal. Sejak dari dulu, sikap jual mahalnya tidak pernah berubah. Apabila gadis-gadis teringin benar nak jadikan Khairul sebagai abang angkat... Iffah menolaknya dengan kata-kata pedas. Mengapa susah sangat nak mengerti, dia kan sedang bercakap dalam bahasa Melayu?

Iffah mengangkat mukanya. Mata mereka bertemu lagi. Ada rasa yang bertamu dalam hati..
“Iffah tunggu sampai saya kembali ya, kita didik anak-anak di sini dengan ilmu dan kudrat yang Allah anugerahkan kepada kita....” Iffah masih membisu, hatinya tidak bermaya. Dia tidak suka pada situasi begini.
“Iffah ... Iffah, jangan bagi hati Iffah kepada orang lain ...” pinta Khairul sungguh-sungguh.
“Saya tidak pernah dan tak akan pernah sayang awak, kita kan cuma kawan sahaja. Dari dulu kita dah tahu batas pergaulan ini kan,” kata Iffah.
“Betul?” Tanya Khairul, dengan rasa sungguh terperanjat. Dia terluka dengan pengakuan Iffah. Iffah mengangguk. Dia tidak mahu menjalin hubungan apa-apa dengan Khairul. Titik.

“Saya akan tulis surat setiap hari sehingga hati Iffah terbuka menyayangi saya, Insya-Allah.”
Khairul memandang Iffah semula, dia bukannya cuba merayu pada yang tidak sudi. Sebaliknya Khairul tahu jauh di sudut hati Iffah memang tersimpan ruang untuknya. Kalau tidak masakan mukanya merona merah setiap kali mata mereka bersapa? Cuma masa dan ketika sahaja yang menghalang rasa kasih sayang itu daripada bersemi. Iffah seharusnya diberi perangsang ke arah itu. Dia tu manja, seperti kanak-kanak. Anak tunggal memang macam tu, agaknya. Apa ya yang membuat hatinya keras seperti pualam? Apa yang membuat hatinya membeku sejuk seperti salju?

“Jangan buang masa, Khairul. Saya tidak akan membalasnya.”

* * * * *

Sejak peristiwa itu, hampir setahun dia tidak pernah mendengar khabar apatah lagi berjumpa dengan Khairul lagi. Pada mulanya, Khairul memang menepati janjinya: boleh dikatakan setiap hari Iffah terima surat daripadanya. Tetapi sekadar 21 pucuk surat itu sajalah. Kemudiannya dia berhenti menulis.
Yalah, setelah Iffah membalas surat terakhir Khairul... lelaki itu telah berhenti menulis untuk Iffah. Kenapa surat Iffah yang satu-satunya itu tidak pernah berbalas lagi? Iffah rasa terhina sekali, mungkinkah Khairul sebenarnya sekadar hendak mempermain-mainkan perasaan Iffah sahaja? Sampai di situ sahajakah sayangnya kepadaku. Kadang-kadang Iffah cuba memujuk diri, mungkin suratnya itu hilang di perjalanan atau Khairul sekadar menguji kekerasan hati Iffah.

Tiba-tiba Iffah menangis. Benarkah aku ‘tidak pernah’ dan ‘tidak akan pernah’ menyayangi Khairul? Kalau tidak, kenapa air matanya mudah tumpah kalau terkenangkan Khairul. Aduh, kenapa rasa rindu ini bertambah setiap detik. Rasa cinta itu menusuk halus bersama aliran darahnya. Rasa rindu itu bergetar seirama dengan nadinya. Kenapa? Kenapa baru sekarang aku menyedari yang aku juga sayangkannya. Mengapa ya, rasa aneh ini muncul setelah Khairul lagi tidak mengirim harapan dan memujuk hatiku lagi.

Dan yang paling memilukan, tiada sekeping kad Hari Raya singgah ke kotak suratnya. Miskin-miskin anak-anak Lembah Kundasang ini, mereka mampu juga mengirim kad untukku. Benarkah, Khairul sekadar membalas dendam kerana kesombonganku sendiri? Pedihnya ... hujan di mata, banjir di hati ... karam di jiwa.

* * * * *

Kelmarin mereka menerima guru baru dari Semenanjung lagi, Cikgu Bukhari. Dia orang Kedah, lepasan Diploma Pendidikan dari USM. Sebelumnya dia sudah ada ijazah sarjana dalam bidang Kimia dari Universiti Murdoch (kerana desakan kegawatan ekonomi dia terpaksa jadi guru – dia yang memberitahu Faezah semalam)

Juriffah berharap cikgu yang akan mengajar matematik dan kimia itu mengenali Khairul. Mendengar cerita Khairul pun sudah cukup untuk menutup resah dan rindunya. Dia perlu mendapat kepastian tentang Khairul. Masihkah dia ditawar cinta oleh lelaki itu? Atau mungkin juga Khairul telah bertemu dengan gadis lain. Dan kalau perkara begitu sampai terjadi, Iffah sedia menerima realiti hidup! Cuma tentu sahaja dia perlukan masa untuk melupakan Khairul. Iffah sudah tidak sanggup hidup terapung-apung begini. Terasa dia seperti digantung tidak bertali ....

“Saya rasa pernah tengok cikgu sebelum ni, “ kata Cikgu Bukhari, yang peramah.
Juriffah yang sedang menyuap karipap jadi terpaku. Faezah memandang Iffah dan kemudian mengalih pandangan ke arah cikgu baru itu dengan penuh tanda tanya. Dari kelmarin lagi, Faezah nampak matanya asyik memandang Iffah. Sejak itu hatinya telah berkata yang lain... cikgu baru ni sudah jatuh hati pada Iffah. Iffah tu ada keistimewaannya yang tersendiri, cuma dia tidak sedar daya tarikan yang pada dirinya itu.

“Di mana ya, nama cikgu pun agak ‘familiar’ ...”
“Cikgu dari USM?”
Juriffah menggeleng.
“Kat mana ni,” kata Cikgu Bukhari sambil mengetuk jarinya di meja.

“Cikgu kenal Khairul Anwar Zainuddin?”
Tiba-tiba Iffah membuang malu dan mengambil kesempatan untuk bertanya pula.
Jika tidak, bila lagi dia akan mendapat jawapan dari segala persoalan hatinya selama ini.
“Haa, saya dah kenal cikgu, di bilik Cikgu Khairul ... opss maksud saya, dalam foto di bilik Cikgu Khairul.”

Bukhari rasa lega kerana dapat meneka dengan tepat. Dia ingat lagi gambar Juriffah dan guru-guru lain terletak di atas meja ‘room-mate’-nya tu.

Gambar perjalanan ke kemuncak Gunung Kinabalu – dia pasti kini – di bawah bingkai gambar tu tertera kata-kata klasik yang pelik:
‘Niat hati nak memeluk gunung, tapi sayang tangan tak sampai-sampai lagi ...’

Khairul akan lihat gambar Cikgu Juriffah dengan kanta pembesar. Buah hati saya, kata Khairul dulu. Tiap-tiap hari Khairul akan menulis surat untuk gadis yang dia ‘dakwa’ kekasihnya itu. Tetapi Bukhari pasti tidak satu pun berbalas. Kadang-kadang mereka akan usik-usik Khairul, dah berbalas... Surat Cinta Lembah Kundasang? Khairul cuma tersenyum ... dia tak pernah marah, dia tak pernah kecil hati apa lagi nak bermasam muka. Dia sungguh penyabar. Khairul begitu yakin dan sungguh tekun dalam misinya untuk memikat gadis, yang dia dakwa buah hatinya. Walaupun nampak lucu tapi amat pedih memilukan.

Bukhari dan kawan-kawannya akhirnya terus buat andaian: Khairul Anwar cuma bertepuk di sebelah tangan. Kalau tak, pasti Khairul ada gambar kekasihnya itu secara solo, bukannya beramai-ramai seperti pasukan boria tu. Bagaimanapun Bukhari dan kawan-kawannya tidak berani berterus terang pada Khairul, kasihan pula. Mereka cuma mampu mengutuk gadis tolol yang tak sedar di untung tu kerana tidak mahu membalas cinta Khairul yang sungguh tulus ikhlas. Apa lagi yang dipandang oleh gadis tu ... Khairul kacak, warak dan baik hati. Agaknya, mungkin Khairul tidak kaya; mereka terus membuat kesimpulan. Titik.

“Cikgu kenal dia?”
Hati Juriffah berbunga kembali. Bukhari mengangguk. Dia dapat lihat sinar riang dari mata cikgu muda di depannya. Padanlah Khairul tak pernah ‘give up’, Cikgu Juriffah bukannya calang-calang orang, dia bukan saja jelita, tapi nampak bijak dan sungguh istimewa. Malah sekali pandang pun, Bukhari sendiri sudah terpikat ....

Mereka cuma berselang sebuah meja. Selain Cikgu Wan Faezah tiada guru lain di kantin sekolah ketika ini. Bukhari memerhati tag nama Juriffah sekali lagi. Sahlah perempuan ini!

“Dia sihat?”
Bukhari terkejut dengan pertanyaan Juriffah.
“Cikgu tak tahu agaknya ...”
Mata Iffah membulat. Menunggu penuh Cikgu Bukhari menyambung kata-katanya dengan penuh resah,
“Dia... dah lama tiada?”
“Tiada?”
“Meninggal!”
“Meninggal dunia?”
Cikgu Bukhari mengangguk.
“Dia kemalangan jalan raya, dalam kampus juga. Rasanya dia baru saja kat sana, tak sampai sebulan pun.”
“Selepas kemalangan dia terus koma. Lama jugalah, kemudian keluarganya buat keputusan menanggalkan tiub pernafasan kerana tidak sanggup melihat Khairul menanggung derita,” sambung Bukhari sayu.

Bukhari sempat juga ziarah dua tiga kali, sebelum Khairul dibawa ke Hospital Besar KL. Doktor sudah jelaskan dari awal lagi, sistem sarafnya rosak teruk dan tiada harapan sembuh lagi. Keluarga Khairul bukannya orang kaya, adik-beradiknya ramai. Dalam fikirannya mereka hanya hendak bawa Khairul pulang ke rumah dan adakan bacaan Yasin sahaja.

Juriffah tidak dapat menahan sebak lagi. Rasanya sudah bertahun dia tanggung kesedihan kehilangan Khairul, dan hari ini dia betul-betul kehilangan Khairul untuk selama-lamanya. Badan Iffah jadi seram sejuk dan dia rasa nak muntah. Bukhari dan Faezah kasihan melihat muka Juriffah yang pucat lesu. Mereka dapat meneka perasaan Juriffah terhadap Khairul selama ini. Iffah tidak perlu bersembunyi dengan hatinya lagi. Rasa cinta itu terpancar dari wajahnya yang sendu. Faezah mendakap Iffah dengan erat. Iffah tersedu di bahunya.

Tiba-tiba Juriffah teringat surat terakhir Khairul:

Juriffah sayangku,

Walaupun tidak pernah sepucuk catatan cinta dari Lembah Kundasang pernah mengunjungi saya yang jauh terasing di sini, namun saya masih berdoa dan akan terus berdoa sehingga akhir hayat ini, Insya-Allah agar hatimu kan terbuka jua. Iffah, kalau cinta ... lafazkan lah. Jangan melukai dirimu sendiri dengan memendam rasa hati, cairkan perasaanmu dengan ketulusan cahaya cintaku. Sesungguhnya hidup ini adalah sementara ... dan dalam sementara itulah saya ingin berkongsi dengan mu, Iffah. Oleh itu saya mohon kepadamu: Balaslah catatan ini walaupun dengan secarik kata. Agar sekiranya saya tidak diizinkan-Nya lagi menatap wajahmu lagi, rasa cintamu itu akan tetap menjadi kenangan saya sepanjang zaman.

Gunung pantai tinggi merawan,
Nampak dari Padang Temu;
Buah hati tinggalah tuan,
Ada hayat kita bertemu.

Wassalam.
Yang Tetap Kasih Padamu,
ABANG.

Tuhanku, adakah Khairul juga tahu, yang aku juga sayang kepadanya pada saat ini?

terbitan : Noor Suraya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan